MEMBARIS ASAS
1. DEFINISI
Membaris asas (pre-lining) ialah aktiviti membaris untuk menentukan lorong himpunan atau longgokan cincangan batang sawit sebelum kerja menebang mencincang dijalankan di kawasan tidak berteres.
1.1 OBJEKTIF
Menentukan lorong himpunan/longgokan cincangan batang sawit.
i. Himpunan/longgokan batang sawit dapat disusun dengan lurus, teratur dan memudahkan kerja operator excavator.
ii. Garisan membaris asas dapat digunakan untuk membaris utama sawit nanti.
iii. Mengelakkan daripada berlakunya barisan/tapak penanaman di atas himpunan/longgokan cincangan batang sawit
1.2 PIAWAIAN
i. Aktiviti membaris asas (pre-lining) perlu dijalankan sebelum aktiviti menebang dan mencincang dijalankan.
ii. Lorong longgokan mesti terletak di tengah-tengah lorong barisan tanaman sawit baru.
iii. Pancang membaris asas dapat dilihat dengan jelas oleh Operator Excavator.
1.3 PERALATAN DAN BAHAN
i. Pita Pengukur - Untuk mengukur jarak tanaman.
ii. Pancang Ibu - Kayu lurus ukuran 2 cm x 1.80 meter tinggi.
iii. Kertas Putih - Sebagai bendera dipasang di pancang ibu.
iv. (Dawai 12G - Ditanda setiap 5 tapak penanaman dalam sesuatu barisan).
v. Parang Tajam - Untuk memotong kayu pancang.
vi. Kompas - Menentukan kelurusan garisan membaris asas.
1.4 PANDUAN PRODUKTIVITI
.
Tenaga Kerja | Luas Kawasan kerja |
1 kumpulan 3 pekerja | 30 - 35 hektar. |
1.5 KAEDAH
Aktiviti membaris asas (pre-lining) perlu dijalankan sebelum kerja menebang dan mencincang pokok sawit dijalankan. Aktiviti membaris asas ini bertujuan untuk menentukan lorong longgokan cincangan batang sawit supaya berada di tengah-tengah di antara barisan tapak tanaman sawit baru. Kaedah untuk membaris asas adalah seperti berikut:
i. Buat satu garisan lurus 0.91 meter ( 3 ‘ ) dari pokok sawit yang hendak ditebang.
ii. Gunakan kompas untuk menentukan kelurusan garisan tersebut mengikut arah utara selatan tetapi bersesuaian dengan arah jalan.
iii. Tarik dawai jarak tanaman dan tandakan dengan pancang ibu setiap lima jarak tapak penanaman (lebih rapat jarak pancang lebih baik kerana mudah dilihat oleh operator excavator).
iv. Kayu pancang boleh menggunakan pelepah sawit atau kayu lurus berukuran 1.80 meter tinggi.
v. Hujung kayu pancang tersebut dibelah dan masukkan kertas berwarna putih dan buatkannya seperti bendera supaya mudah dilihat dari jauh.
vi. Untuk membina garisan kedua, tarik dawai jarak tanaman ke arah sudut 60º daripada garisan utama tadi.
vii. Tandakan jarak tanaman berjarak 9.15m (136 pokok perhektar) dengan kayu pancang yang mempunyai bendera kertas putih (sebagai ibu pancang).
viii. Setiap pancang yang ditanda dengan jarak 9.15m, wujudkan satu barisan selari dengan garisan pertama dan tandakan setiap lima tapak tanaman.
ix. Garisan lurus ini perlu ditanda untuk setiap barisan pokok sawit sehingga keseluruhan kawasan yang terlibat.
x. Garisan lurus ini akan lebih jauh dari pokok tua dengan pertambahan jarak sebanyak 0.91 meter setiap baris.
xi. Kawasan tempat longgokan cincangan batang sawit adalah di tengah-tengah antara barisan tapak tanaman baru.
1.6 KAWALAN
i. Dawai jarak tanaman yang digunakan untuk membaris, perlu mempunyai ukuran jarak yang tepat.
ii. Dawai jarak tanaman perlu sentiasa ditarik tegang dan lurus semasa kerja membaris asas ( prelining ) dibuat.
ii. Semua pancang mesti dipacak dengan tegak dan lurus dan mudah dilihat oleh operator excavator.
iv. Kayu pancang membaris asas tidak boleh ditumbang atau digerakan semasa kerja menebang dan mencincang sedang dijalankan.
1.7 KESESUAIAN PELAKSANAAN
Aktiviti membaris perlu disiapkan sepenuhnya sebelum kerja menebang, mencincang dijalankan. Aktiviti membaris asas ini lebih mudah dijalankan selepas kerja menebas anak kayu (under brushing) dijalankan. Kerja ini perlu dijalankan pada musim panas atau sewaktu hujan berkurangan.
1.8 ALAM SEKITAR
Elakkan daripada membakar pancang kayu yang telah rosak dan membuangnya di punca aliran air.
1.9 KESELAMATAN
Menggunakan langkah-langkah keselamatan sebagaimana yang ditentukan di dalam JKKKS. Pakaian kerja adalah bersesuaian dengan kerja membaris.
1.10 PETUNJUK KEJAYAAN
i. Himpunan longgokan cincangan batang sawit terletak di tengah-tengah barisan tapak tanaman.
iii. Barisan himpunan longgokan cincangan perlu disusun dengan lurus dan teratur.
iii. Kerja menanam kacang penutup bumi dapat dijalankan sebelum kerja membaris utama dijalankan.
iv. Garisan pancang membaris asas ini dapat digunakan semasa kerja membaris utama dijalankan.
v. Produktiviti kerja membaris utama meningkat.
vi. Tapak dan barisan tanaman tidak terletak di atas himpunan/longgokan cincangan.
1.11 RUJUKAN
i. Perusahaan Sawit Di Malaysia – (MPOB).
berguna btol info2 ko ni..troskan usaha
ReplyDelete